Catatan hadith

Click on the button to toggle between showing and hiding content.

*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

* Al-Quran dan Sunnah Panduan Hidup Diredhai*

عَنْ مَالِك أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

*_Daripada Malik, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang kalian tidak akan tersesat selamanya selama berpegang teguh dengan keduanya iaitu Kitabullah dan Sunnah Nabi " (Muwatta’ Malik No: 1661 Dar Ihya Ulum Arabiyyah) Status: Hadis Sahih_*

  1. Rasulullah SAW meninggalkan pusaka yang amat berharga untuk diwarisi oleh orang beriman agar sentiasa berada di dalam petunjuk dan hidayah Allah.
  2. Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW merupakan dua pusaka yang wajib di amalkan dan dijadikan panduan dalam kehidupan ini.
  3. Al-Quran adalah kitab hidayah dan panduan untuk kehidupan. Berusahalah mempelajari, membaca, memahami dan melaksanakan tuntutan al-Quran.
  4. عن جابر عن النبي صلى الله عليه وسلم قال اَلقُرْءَانُ شَافِعٌ مُشَفَّعٌ وَمَاحِلٌ مُصَدَّقٌ مَن جَعَلَهُ أَمَامَهُ قَادَهُ إِلَى الْجَنَّةِ وَمَن جَعَلَهُ خَلْفَ ظَهْرِهِ سَاقَطَهُ إِلَى النَّارِ

    Daripada Jabir RA dari Nabi SAW bersabda: Al-Quran adalah pemberi syafaat (yang mana) syafaatnya akan diterima dan sebagai penghujah (yang mana) hujahnya disokong. Barangsiapa meletakkan al-Quran di hadapannya maka al-Quran akan memandunya ke syurga dan barangsiapa yang meletakkan al-Quran di belakangnya maka al-Quran akan mencampakkannya ke neraka” (HR Ibn Hibban No: 124) Status: Hadis Sahih

  5. Sunnah adalah penjelas bagi al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Al-Sunnah adalah jalan, tingkah laku, amalan, pembawaan atau cara hidup Rasulullah SAW sama ada melalui percakapan, perbuatan mahupun perakuan.
  6. Menerusi sunnah, orang beriman dapat memahami asas ibadah yang diterangkan dalam al-Quran serta dalam bidang-bidang lain yang diperlihatkan oleh Rasulullah SAW seperti muamalah, jinayat, akhlak, pentadbiran dan lain-lain.

Marilah kita memastikan dua pusaka ini kita pelajari, fahami dan mengamalkannya sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

16hb Oktober 2021

09hb Rabiul Awal 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Keutamaan Berselawat Dalam Suatu Majlis*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى الرَّجُلُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّةً فِي الْمَجْلِسِ أَجْزَأَ عَنْهُ مَا كَانَ فِي ذَلِكَ الْمَجْلِسِ

*_Daripada Abi Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang berselawat kepada Nabi SAW sebanyak sekali di dalam sesebuah majlis, maka ianya telah mencukupi sepanjang ia berada di majlis tersebut. (Sunan at-Tirmidzi No: 3468) Status: Hassan Sahih_*

  1. Majlis yang diberkati, di dalamnya disertakan dengan kalimah Allah dan selawat ke atas Nabi SAW
  2. Berselawat sekali apabila berada dalam satu majlis atau program mencukupi bermaksud sangat mudah untuk dilakukan tetapi memiliki pahala yang sangat besar termasuk keampunan.
  3. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dari Abdullah bin ‘Amr RA, ia berkata:

    Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dari Abdullah bin ‘Amr RA, ia berkata:

    “Barangsiapa yang berselawat kepada Rasulullah SAW sekali sahaja, maka Allah dan para Malaikatnya akan berselawat kepadanya sebanyak tujuh puluh selawat, maka perbanyaklah seorang hamba dalam membacanya.” (Al-Musnad Imam Ahmad X/106-107 No. 6605) Status: Hadis Hasan

  4. Sufyan As-Sauri mengatakan bahawa selawat dari para malaikat adalah permohonan ampun baginya.
  5. Memperbanyak selawat pada bila-bila masa amat digalakkan

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

17hb Oktober 2021

10hb Rabiul Awal 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Gigit Sunnah Rasulullah SAW Dengan Gigi Geraham*

حَدَّثَنِي يَحْيَى بْنُ أَبِي الْمُطَاعِ قَالَ سَمِعْتُ الْعِرْبَاضَ بْنَ سَارِيَةَ يَقُولُ قَامَ فِينَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَوَعَظَنَا مَوْعِظَةً بَلِيغَةً وَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ وَذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ فَقِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَظْتَنَا مَوْعِظَةَ مُوَدِّعٍ فَاعْهَدْ إِلَيْنَا بِعَهْدٍ فَقَالَ عَلَيْكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا وَسَتَرَوْنَ مِنْ بَعْدِي اخْتِلَافًا شَدِيدًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَالْأُمُورَ الْمُحْدَثَاتِ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

*_Telah menceritakan kepadaku Yahya bin Abi Al Mutha' ia berkata; aku mendengar 'Irbadl bin Sariyah berkata; "Pada suatu hari Rasulullah SAW berdiri di tengah-tengah kami. Baginda memberi nasihat yang sangat menyentuh, membuat hati menjadi gemetar, dan airmata berlinangan. Lalu dikatakan; "Wahai Rasulullah, engkau telah memberikan nasihat kepada kami satu nasihat perpisahan, maka berilah kami satu wasiat." Baginda bersabda: "Hendaklah kalian bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat meskipun kepada seorang hamba Habasyi. Dan sepeninggalku nanti, kalian akan melihat perselisihan yang sangat dahsyat, maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khulafaur Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah sunnah itu dengan gigi geraham, dan jangan sampai kalian mengikuti perkara-perkara (bid’ah) yang dibuat-buat, kerana sesungguhnya semua bid’ah itu adalah sesat." (HR Ibnu Majah No: 42) Status: Hadis Sahih_*

Rasulullah SAW meninggalkan wasiat untuk kita laksanakan:

  1. Hendaklah kita bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat kepada pemimpin yang benar dan hak, meskipun kepada seorang hamba Habasyi.
  2. Sepeninggalan Rasulullah SAW, akan berlaku banyak perselisihan yang dahsyat. Sebagai orang beriman, kita mesti berpegang teguh (menggigit dengan gigi geraham) sunnah Rasulullah SAW dan sunnah para khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Mengigit dengan gigi geraham lebih kuat dan mantap berbanding mengigit dengan gigi kacip yang boleh terlepas.
  3. Berpegang teguh dengan sunnah yang dimaksudkan ialah teguh dan berterusan mengikuti dan mencontohi semua jalan hidup, pemikiran, amalan dan tunjuk ajar Rasulullah SAW dalam segenap lapangan hidup. Juga mengikuti jalan hidup khulafa ar-Rashidin
  4. Jadilah seperti Saidina Abu Bakar Ash Shiddiq RA yang menyatakan:

    لَسْتُ تَارِكًا شَيْئًا كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ يَعْمَلُ بِهِ إِلَّا عَمِلْتُ بِهِ إِنِّي أَخْشَى إِنْ تَرَكْتُ شَيْئًا مِنْ أَمْرِهِ أَنْ أَزِيْغَ

    “Tidaklah aku biarkan satupun yang Rasulullah SAW amalkan kecuali aku mengamalkannya kerana aku takut jika meninggalkannya sedikit saja, aku akan menyimpang.” (Atsar R. Abu Daud No. 2970)

  5. Jangan terlibat dengan perkara bid’ah yang dikeji. Bid’ah yang dikeji mengikut Ibnu Hajar al-Asqalani adalah menambah atau mengurangkan dalam hal agama yang tiada dalil syarak dan ia adalah amalan yang dikeji oleh syarak.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

18hb Oktober 2021

11hb Rabiul Awal 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Contohi Akhlak Rasulullah*

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: خَدَمْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ سِنِينَ وَاللهِ مَا قَالَ لِي: أُفًّا قَطُّ وَلَا قَالَ لِي لِشَيْءٍ: لِمَ فَعَلْتَ كَذَا وَهَلَّا فَعَلْتَ كَذَا

*_Daripada Anas bin Malik RA berkata : Aku telah berkhidmat kepada Rasulullah SAW selama 10 tahun, Demi Allah, Baginda SAW tidak pernah berkata kepadaku “ Uff ” dan tidak pernah berkata kepadaku kerana sesuatu : Kenapa awak buat begini ? Kenapa awak tidak buat begini ? (HR Muslim No : 2309) Status: Hadis Sahih._*

  1. Rasulullah SAW memiliki akhlak yang sangat terpuji. Tutur katanya sangat lembut dan penuh hikmah kepada sesiapa sahaja walaupun terhadap hamba.
  2. Kalimah Uff adalah ucapan atau suara yang menunjukkan rasa tidak hormat dan menyakitkan hati. Mungkin bagi kita adalah kata-kata seperti ini : “ah !! , Ish !! Hoi !! Hey!! dan sebagainya.
  3. Tutur kata merupakan antara penyebab utama seseorang itu mendapat dosa kerana terlalu mudah untuk menyebut perkataan yang tidak baik. Menjaga tutur kata juga adalah tanda orang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat.
  4. Rasulullah SAW tidak pernah berkata perkataan kasar kepada sahabat hatta kepada pekerja seperti perkataan “Uff ”. Baginda juga tidak memarahi orang yang berkhidmat dengannya.
  5. Marilah kita membuktikan kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan menjadikan Rasul sebagai contoh terbaik dalam kehidupan kita. Antaranya menjaga tutur kata dengan tidak mengeluarkan kata-kata yang buruk termasuk dalam penulisan. Firman Allah
  6. لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا ٢١

    Demi sesungguhnya, adalah bag kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) (al-Ahzab: 21).

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

19hb Oktober 2021

12hb Rabiul Awal 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Rasulullah SAW Contoh Akhlak Terbaik*

حَدَّثَنِي أَبُو عَبْدِ اللَّهِ الْجَدَلِيُّ قَالَ قُلْتُ لِعَائِشَةَ كَيْفَ كَانَ خُلُقُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي أَهْلِهِ قَالَتْ كَانَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا لَمْ يَكُنْ فَاحِشًا وَلَا مُتَفَحِّشًا وَلَا سَخَّابًا بِالْأَسْوَاقِ وَلَا يُجْزِئُ بِالسَّيِّئَةِ مِثْلَهَا وَلَكِنْ يَعْفُو وَيَصْفَحُ

*_Telah menceritakan kepadaku Abu Abdullah Al Jadali dia berkata; Saya bertanya kepada Aisyah; "Bagaimanakah akhlak Rasulullah SAW terhadap keluarganya." Aisyah berkata; "Baginda adalah orang yang paling baik akhlaknya, tidak pernah berbuat keji, tidak bercakap dengan kata-kata yang kotor, tidak berteriak-teriak di pasar, dan tidak pernah membalas dengan kejahatan yang sama (yang diperlakukan kepadanya), akan tetapi baginda seorang yang pemaaf dan pengampun." (HR Ahmad No: 24797) Status: Hadis Hasan_*

*Pengajaran:*

  1. Rasulullah SAW adalah orang yang paling baik akhlak terhadap keluarga dan orang lain.
  2. Rasulullah SAW tidak pernah melakukan perbuatan keji seperti perbuatan syirik.
  3. Rasulullah SAW tidak bercakap dengan kata-kata yang kotor serta tidak terjerit-jerit di pasar (shoping kompleks).
  4. Antara akhlak terpuji Rasulullah SAW ialah tidak pernah membalas dengan kejahatan yang sama (yang diperlakukan kepadanya).
  5. Rasulullah SAW adalah seorang yang pemaaf kepada orang lain

Bersifat RAHMAH dengan mencontohi akhlak Rasulullah SAW.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

20hb Oktober 2021

13hb Rabiul Awal 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Rasulullah SAW Pembawa Rahmat*

عَنْ أَبِي صَالِحٍ قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُنَادِيهِمْ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ, إِنَّمَا أَنَا رَحْمَةٌ مُهْدَاةٌ

*_Daripada Abu Soleh RA, beliau berkata: "Adalah Nabi SAW (pada suatu hari) menyeru para sahabat: "Wahai sekalian manusia! (Ketahuilah) Bahawa sesungguhnya daku ini adalah rahmat yang dihadiahkan (oleh Allah SWT kepada seluruh alam)." (Hadith riwayat Ad-Darimi, No: 15, Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, No: 98, beliau berkata: " Hadith ini adalah sahih dengan mengikuti syarat-syarat yang telah digariskan oleh Imam al-Bukhari & Muslim)._*

  1. Rasulullah SAW adalah rahmat yang diutus untuk seluruh alam. Firman Allah:
  2. وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ ١٠٧

    Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (al-Anbiya:107).

  3. Menurut Ibnu Abbas, Allah mengutus Nabi Muhammad sebagai rahmat bagi seluruh manusia, baik mukmin mahupun kafir. Rahmat bagi orang mukmin yaitu Allah memberinya petunjuk dengan sebab diutusnya Rasulullah. Baginda penyebab memasukkan orang-orang beriman ke dalam syurga dengan iman dan amal mereka terhadap ajaran Allah. Sedangkan rahmat bagi orang kafir, berupa tidak disegerakannya bencana yang menimpa umat-umat terdahulu yang mengingkari ajaran Allah.
  4. Rahmat adalah kasih sayang. Nabi SAW diutuskan semata-mata untuk membawa risalah ketauhidan, iaitu dengan mengeluarkan manusia daripada lembah penghambaan sesama manusia kepada semata-mata menyembah Allah SWT, Tuhan Yang Esa. Risalah tauhid ini disampaikan dengan penuh rahmat melalui jalan dakwah iaitu mengajak manusia beriman kepada Allah SWT. Tatkala manusia itu beriman maka alam pun akan mendapat manfaat diatas keimanan tersebut. Itulah rahmat dan hadiah yang besar daripada Allah SWT kepada seluruh alam.
  5. Ibn Qayyim al-Jauziyah menyatakan bahawa rahmat itu adalah kasih sayang iaitu sifat memberikan manfaat kepada orang lain juga sifat bersusah payah demi memberikan kemudahan kepada orang / makhluk alam atau menjauhkannya daripada bencana.

Jadilah kita pewaris sifat rahmah kepada sesama manusia juga kepada makhluk alam yang lain.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

21hb Oktober 2021

14hb Rabiul Awal 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

عن أبي موسى الأشعري رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم قال لن تُؤْمِنوا حتى تَراحموا قالوا يا رسولَ اللهِ كُلُّنا رحيمٌ قال إنه ليس برحمةِ أحدِكم صاحِبَه ولكنَّها رحمةُ الناسِ رحمةُ العامَّةِ

*_Daripada Abu Musa RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Kamu tidak dikira beriman sehingga kamu berkasih sayang (saling rahmah). Para Sahabah berkata: Wahai utusan Allah, kami semua telah berkasih sayang. Baginda bersabda: “(Maksud aku) bukan seperti kasih sayang seseorang kamu terhadap kawannya, tetapi rahmah kasih sayang terhadap seluruh manusia, rahmah secara umum” (Riwayat al-Haythami dalam Majma’ al-Zawaid 8/189, al-Hakim dalam al-Mustadrak 7418 Hadis Hasan Lighairihi)_*

  1. Islam adalah agama rahmah. Rahmah adalah kata terbitan daripada kata akar ra-hi-ma / yar-ha-mu yang bermaksud lembut hati terhadap seseorang, memberi kasih sayang, belas ihsan, santun dan simpati (al-Mu’jam al’Arabiy al-Asasiy, 1989)
  2. Memiliki sifat rahmah dengan berkasih sayang sesama Muslim adalah tanda keimanan seseorang.
  3. Sifat rahmah berkasih sayang bukan hanya sesama Muslim malah juga kepada seluruh manusia termasuk juga yang bukan Islam serta makhluk alam yang lain seperti binatang dan tumbuhan.
  4. Umat Islam haruslah memahami bagaimana proses ummah dijelmakan dalam peradaban Islam dari sudut kesatuan masyarakat manusia. Al-Quran mengarahkan untuk kita melakukan engagement dengan pelbagai kaum dan bangsa. Firman Allah:
  5. يَٰ<أَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ

    “Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari (sepasang manusia) lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali.” (hujurat: 13)

  6. Memiliki sifat rahmah kepada manusia secara umum termasuk bukan Islam dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia dengan saling mengenali serta berusaha melakukan usaha dakwah melalui pelbagai pendekatan termasuk menunjukkan contoh terpuji. Menyayangi orang lain agar mereka juga mendapat hidayah dan taufik menjadi hamba Allah yang diredhai.

Zahirkanlah sifat rahmah kita sebagai Muslim kepada orang lain termasuk kawan dan lawan dengan engagement yang berterusan agar kita benar-benar memiliki sifat RAHMAH.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

22hb Oktober 2021

15hb Rabiul Awal 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَهُ قَالَ أَخْبَرَنِي أَبُو سُفْيَانَ أَنَّ هِرَقْلَ قَالَ لَهُ سَأَلْتُكَ مَاذَا يَأْمُرُكُمْ فَزَعَمْتَ أَنَّهُ أَمَرَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَالصِّدْقِ وَالْعَفَافِ وَالْوَفَاءِ بِالْعَهْدِ وَأَدَاءِ الْأَمَانَةِ قَالَ وَهَذِهِ صِفَةُ نَبِيٍّ

*_Abdullah bin Abbas RA berkata, telah mengkhabarkan kepada kami Abu Sufyan bahawa Raja Herkulis berkata kepadanya: "Aku telah bertanya kepadamu apa yang dia (Nabi Muhammad) perintahkan kepada kalian, lalu kamu menjawab bahawa dia memerintahkan kalian untuk solat, bersedekah (zakat), menjauhkan diri dari berbuat buruk, menunaikan janji dan melaksanakan amanah". Lalu dia berkata; "Ini adalah diantara sifat-sifat seorang Nabi". (HR Bukhari No: 2484) Status: Hadis Sahih_*

  1. Rasulullah SAW memerintahkan agar melaksanakan ketaatan kepada Allah dengan ibadat yang wajib sebagai seorang Muslim.
  2. Rasulullah SAW memerintahkan kepada umatnya agar:
    • a. Melaksanakan solat
    • b. Menunaikan zakat dan bersedekah
    • c. Menjauhi perbuatan buruk
    • d. Menunaikan janji
    • e. Melaksanakan amanah
  3. Sebagai umat contoh, adalah menjadi kewajipan kita untuk melaksanakan tanggungjawab yang bersifat peribadi seperti solat dan menjauhi perbuatan buruk. Muslim juga diperintahkan menunaikan tanggungjawab yang berkaitan dengan masyarakat seperti mengeluarkan zakat dan bersedekah di samping menunaikan janji dan melaksanakan amanah.

JOM bersifat RAHMAH dengan melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

23hb Oktober 2021

16hb Rabiul Awal 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

عَنْ جَابِرٍ وَأَنَسٍ وَيُرْوَى عَنْ بَعْضِ أَهْلِ الْعِلْمِ قَالَ إِذَا صَلَّى الرَّجُلُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّةً فِي الْمَجْلِسِ أَجْزَأَ عَنْهُ مَا كَانَ فِي ذَلِكَ الْمَجْلِسِ

*_Dari Jabir serta Anas dan telah diriwayatkan dari sebagian ulama, beliau mengatakan: Apabila seseorang berselawat kepada Nabi SAW sebanyak sekali di dalam sesebuah majlis, maka ianya telah mencukupi sepanjang ia berada di majlis tersebut. (HR Tirmidzi No: 3468) Status: Hasan Sahih_*

  1. Majlis yang diberkati, di dalamnya disertakan dengan kalimah Allah dan selawat ke atas Nabi SAW.
  2. Berselawat apabila berada dalam satu majlis atau program paling tidak sekali.
  3. Memperbanyak selawat pada bila-bila masa amat digalakkan.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

24hb Oktober 2021

17hb Rabiul Awal 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

عَنْ بُرَيْدِ بْنِ أَبِي مَرْيَمَ قَالَ حَدَّثَنَا أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ وَحُطَّتْ عَنْهُ عَشْرُ خَطِيئَاتٍ وَرُفِعَتْ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ

*_Dari Buraid bin Abu Maryam dia berkata; telah menceritakan kepada kami Anas bin Malik dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah akan mengucapkan selawat kepadanya sepuluh kali, dihapuskan darinya sepuluh kesalahan, dan ia diangkat sepuluh darjat untuknya." (HR An-Nasa'i No:1280) Status: Hadis Sahih_*

  1. Orang yang berselawat ke atas Rasulullah SAW sekali, Allah akan membalas dengan sepuluh kali.
  2. Orang yang berselawat sekali akan dihapuskan sepuluh kesalahannya
  3. Orang yang berselawat sekali akan diangkat sepuluh darjat untuknya di sisi Allah.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

25hb Oktober 2021

18hb Rabiul Awal 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

*Rasulullah Penyelamat Umat*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّمَا مَثَلِي وَمَثَلُ أُمَّتِي كَمَثَلِ رَجُلٍ اسْتَوْقَدَ نَارًا فَجَعَلَتِ الدَّوَابُّ وَالْفَرَاشُ يَقَعْنَ فِيهِ فَأَنَا آخِذٌ بِحُجَزِكُمْ وَأَنْتُمْ تَقَحَّمُونَ فِيهِ

*_Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya perumpamaan diriku dengan umatku adalah seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Ketika itu, binatang dan kelekatu berjatuhan ke dalamnya. Maka aku mencegah kalian, namun kalian melemparkan diri ke dalamnya. (HR Bukhari No: 6483) Status : Hadis Sahih._*

  1. Rasulullah SAW diutus untuk memberitahu manusia akan ancaman azab api Neraka yang menanti di Akhirat bagi mereka yang berbuat maksiat juga yang tidak beriman.
  2. Rasulullah SAW berusaha untuk menyelamatkan manusia dari menjadi ahli Neraka. Baginda SAW menyampaikan Islam sebagai kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.
  3. Imam An-Nawawi berkata: hadis ini membawa maksud bahawa Rasulullah SAW menggambarkan perbuatan orang jahil dan ingkar yang bergelumang dengan maksiat dan syahwat sebenarnya melemparkan diri ke dalam Neraka, seperti kelekatu yang terbang ke dalam api kerana mengikut keinginan dan tidak mampu membezakan bahaya atau tidak, sedangkan Baginda SAW berusaha menghalang mereka dari terjatuh ke dalamnya.
  4. Teknik memberikan perumpamaan yang boleh digambarkan oleh akal, adakalanya diperlukan bagi menyampaikan dakwah dan menyedarkan jiwa umat.
  5. Jangan jadikan kita seperti kelekatu yang terhumban ke dalam api kerana tidak dapat membezakan antara bahaya dan bahagia. Ikutilah perintah dan larangan Rasulullah SAW yang sayang dan kasih kepada umatnya agar tidak terhumban ke dalam neraka.
  6. Jadikan diri kita pewaris tugas Rasulullah sebagai pendakwah untuk menyelamatkan diri kita dan orang lain daripada api neraka.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

26hb Oktober 2021

19hb Rabiul Awal 1443H

>*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Orang Yang Bakhil*

عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْبَخِيلُ الَّذِي مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

*_Daripada Ali bin Abi Talib, Rasulullah SAW bersabda: Orang yang kedekut (bakhil) adalah orang yang ketika namaku disebut tetapi dia tidak berselawat ke atasku. (HR Tirmizi No: 3469) Status: Hadis Sahih_*

  1. Jadilah orang yang pemurah
  2. Orang yang bakhil ialah orang yang apabila disebut nama Rasulullah SAW atau ganti nama baginda , dia tidak mengucapkan selawat kepada baginda.
  3. Mari kita berselawat antaranya:
  4. اللَّهُمَّ صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ

    Atau ketika mendengar, menulis nama Nabi Muhammad serta ganti nama baginda dengan lafaz:

    – صَلَّي اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ

    atau

    – عَلَيْهِ الصّلاَةُ وَالسَّلاَمُ

Jangan jadi orang yang bakhil.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

27hb Oktober 2021

20hb Rabiul Awal 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

*Rahmah Kepada Orang Lain*

عَنْ اَنَسٍ رض قَالَ كُنْتُ اَمْشِى مَعَ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه وسلم وَ عَلَيْهِ بُرْدٌ نَجْرَانِيٌّ غَلِيْظُ اْلحَاشِيَةِ فَاَدْرَكَهُ اَعْرَابِيٌّ فَجَذْبَهُ بِرِدَائِهِ جَذْبَةً شَدِيْدَةً فَنَظُرْتُ اِلَى صَفْحَةِ عُنُقِ رَسُوْلِ اللهِ صلى الله عليه وسلم وَ قَدْ اَثَرَ بِهَا حَاشِيَةُ الرّدَاءِ مِنْ شِدَّةِ جَذْبَتِهِ ثُمَّ قَالَ يَا مُحَمَّدُ مُرْلِى مِنْ مَالِ اللهِ الَّذِى عِنْدَكَ فَالْتَفَتَ اِلَيْهِ فَضَحِكَ ثُمَّ اَمَرَ لَهُ بِعَطَاءٍ

*_Daripada Anas RA, ia berkata : Dahulu saya pernah berjalan-jalan bersama Rasulullah SAW, Baginda memakai kain burdah buatan Najran (Yaman) yang tebal atau kasar bahagian tepinya. Kemudian ada seorang Arab kampong menemui Rasulullah SAW dan menarik selendangnya dengan tarikan yang sangat kuat daripada belakang. Lalu saya melihat leher Rasulullah SAW ada bekas akibat tarikan kasar. Kemudian orang itu berkata, “Wahai Muhammad, berikan kepadaku harta Allah yang ada padamu!”. Kemudian Baginda menoleh kepadanya dan tertawa, lalu menyuruh sahabat memberikan sesuatu pemberian kepada orang itu. (HR Bukari No: 5738) Status: Hadis Sahih_*

  1. Rasulullah SAW adalah contoh teladan yang paling baik.
  2. Rasulullah SAW sentiasa bersikap lemah lembut terhadap orang lain. Tidak mudah untuk menyalahkan pihak lain sebelum mengetahui alasan di sebalik suatu perbuatan.
  3. Rasulullah SAW memahami karakter dan sikap orang yang berada di sekelilingnya termasuk Arab Badwi yang memiliki sikap agak kasar. Namun Baginda tidak memarahi atau membalas perbuatan tersebut.
  4. Islam sentiasa menganjurkan agar berbuat baik kepada orang lain.
  5. Melakukan perbuatan baik kepada seseorang yang pernah berbuat baik kepada kita adalah perkara biasa, tetapi berbuat baik kepada seseorang yang pernah berlaku buruk kepada kita adalah sesuatu yang luar biasa.

Ayuh jadilah ibarat pepohon rendang yang berbuah ranum, walau dibaling batu namun dibalas dengan menggugurkan buah yang masak.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

28hb Oktober 2021

21hb Rabiul Awal 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

*Jangan Meremehkan Kebaikan Kecil*

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحْقِرَنَّ مِنْ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ

*_Daripada Abu Dzar, Rasulullah bersabda: Jangan sekali-kali kalian menganggap remeh suatu kebajikan meskipun hanya berupa keceriaan wajah ketika bertemu dengan kawanmu" HR Muslim No 4760. Status: Hadis Sahih_*

  1. Setiap amal baik walaupun kecil, tetap mendapat ganjaran di sisi Allah
  2. Berwajah ceria atau senyum apabila bertemu sahabat adalah antara amal kebaikan yang dituntut
  3. Sikap ceria, senyum, gembira dan bertutur dengan kata-kata yang baik ketika berinteraksi dengan orang lain adalah suatu tuntutan akhlak Islam.
  4. Penampilan wajah yang ceria ketika bertemu dapat mewujudkan ikatan ukhuwah sesama muslim.
  5. Jangan memandang remeh perkara yang mungkin kecil tetapi memberi kesan dan ganjaran yang besar.

Jadikan senyuman itu sedekah

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

29hb Oktober 2021

22hb Rabiul Awal 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

*Jadilah Orang Yang Paling Berakhlak*

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خِيَارُكُمْ أَحَاسِنُكُمْ أَخْلَاقًا

*_Daripada Abdullah bin Amr ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik orang di antara kalian adalah orang yang paling baik akhlaknya di antara kalian." (HR Tirmizi No: 1898) Status: Hadis Sahih_*

  1. Rasulullah SAW di utus untuk menyempurnakan akhlak manusia Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
  2. إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

    “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” [Riwayat Ahmad (8952)] Status: Hadis sahih

  3. Sebaik-baik kita ialah yang paling baik akhlaknya
  4. Akhlak yang baik adalah akhlak terpuji yang dicontohi dari Rasulullah SAW
  5. Bersifat terpujilah kita dengan sentiasa memiliki akhlak yang paling baik sama ada dalam beribadat mahupun ketika berhubungan sesama manusia dan makhluk yang lain.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

30hb Oktober 2021

23hb Rabiul Awal 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

*Orang Kaya Yang Miskin Di Akhirat*

عَنْ أَبِي ذَرٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ خَرَجْتُ لَيْلَةً مِنْ اللَّيَالِي فَإِذَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْشِي وَحْدَهُ وَلَيْسَ مَعَهُ إِنْسَانٌ قَالَ فَظَنَنْتُ أَنَّهُ يَكْرَهُ أَنْ يَمْشِيَ مَعَهُ أَحَدٌ قَالَ فَجَعَلْتُ أَمْشِي فِي ظِلِّ الْقَمَرِ فَالْتَفَتَ فَرَآنِي فَقَالَ مَنْ هَذَا قُلْتُ أَبُو ذَرٍّ جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاءَكَ قَالَ يَا أَبَا ذَرٍّ تَعَالَهْ قَالَ فَمَشَيْتُ مَعَهُ سَاعَةً فَقَالَ إِنَّ الْمُكْثِرِينَ هُمْ الْمُقِلُّونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِلَّا مَنْ أَعْطَاهُ اللَّهُ خَيْرًا فَنَفَحَ فِيهِ يَمِينَهُ وَشِمَالَهُ وَبَيْنَ يَدَيْهِ وَوَرَاءَهُ وَعَمِلَ فِيهِ خَيْرًا

*_Daripada Abu Dzar RA dia berkata; "Pada suatu malam, aku pernah keluar rumah, tiba-tiba aku melihat Rasulullah SAW berjalan sendirian tanpa ditemani oleh seorang pun, aku menyangka mungkin baginda ingin berjalan tanpa ditemani oleh orang lain, maka aku pun berjalan di bawah bayangan rembulan, ternyata baginda menoleh dan melihatku, baginda bersabda: 'Siapakah itu? ' Aku menjawab; 'Saya... Abu Dzar. Demi Allah yang menjadikanku sebagai tebusanmu.' Baginda bersabda: 'Wahai Abu Dzar, kemarilah.' Abu Dzar melanjutkan; 'Lalu aku berjalan bersama baginda beberapa ketika, lantas baginda bersabda: 'Sungguh orang-orang yang banyak harta (mengumpulkan harta) akan menjadi sedikit (melarat) pada hari kiamat, kecuali yang diberikan kebaikan oleh Allah padanya dengan harta tersebut lalu ia memberikannya serta membuat kebajikan dengan harta tersebut ke kirinya, kanannya, hadapannya serta belakangnya (dia menggunakan harta tersebut) dengan baik.' (HR Bukhari No: 5962) Status: Hadis Sahih_*

  1. Orang yang banyak harta di dunia tidak semestinya akan berterusan kaya di akhirat. Orang yang miskin di dunia tidak semestinya akan juga miskin di akhirat.
  2. Orang yang kaya di dunia, di akhirat akan jadi miskin dan melarat apabila harta yang dihimpun bukan dari jalan yang halal dan harta itu tidak digunakan untuk menambah pahala kebaikan. Firman Allah:
  3. وَٱلَّذِينَ يَكۡنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلۡفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٖ ٣٤ يَوۡمَ يُحۡمَىٰ عَلَيۡهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكۡوَىٰ بِهَا جِبَاهُهُمۡ وَجُنُوبُهُمۡ وَظُهُورُهُمۡۖ هَٰذَا مَا كَنَزۡتُمۡ لِأَنفُسِكُمۡ فَذُوقُواْ مَا كُنتُمۡ تَكۡنِزُونَ

    Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya (34). (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam Neraka Jahannam, lalu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu. (At-Taubah: 34-35)

  4. Orang yang kaya di dunia akan juga kaya di akhirat apabila ia menggunakan harta tersebut untuk kebajikan dan kebaikan sepanjang masa pada keluarga, masyarakat dan Negara melalui zakat, wakaf, sedekah, derma, infak kebajikan dan amalan kebaikan yang lain.
  5. Kita dilarang mengumpulkan harta di dunia tanpa dibelanjakan pada jalan Allah yang mendatangkan ganjaran pahala yang berterusan buat kita.

Jangan sekali-kali kita menjadi kaya di dunia namun miskin di akhirat kerana tamak, bakhil, bermegah dan takabur dengan harta kekayaan semasa di dunia.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

31hb Oktober 2021

24hb Rabiul Awal 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي وَإِذَا مَاتَ صَاحِبُكُمْ فَدَعُوهُ

*_Daripada Aisyah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku, apabila sahabat kalian meninggal dunia maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia jangan membicarakan keburukan- keburukannya)." (HR Tirmidzi No: 3830) Status: Hadis Sahih_*

  1. Perkahwinan bertujuan untuk mewujudkan rumah tangga dan ahli keluarga yang bahagia.
  2. Bagi mewujudkan kebahagiaan dalam berumah tangga, kita perlu berlaku baik terhadap ahli keluarga antaranya dengan saling memenuhi hak dan tanggungjawab sebagai suami dan isteri, bapa dan ibu serta anak.
  3. Sebaik-baik kita adalah orang yang paling baik pergaulannya terhadap ahli keluarganya.
  4. Syeikh Muhammad bin Abd al-Rahman al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata: (Iaitu berbuat baik) kepada kaum keluarganya dan juga mereka yang mempunyai hubungan silaturahim dengannya. Menurut pendapat lain: kepada isterinya dan juga kaum kerabatnya. Rujuk Tuhfat al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri (10/269).
  5. Bertimbang rasa, bertolak ansur dan saling menyayangi antara pasangan dan anak-anak merupakan antara faktor yang menjamin keharmonian rumahtangga.
  6. Contohilah Rasulullah SAW dalam berbuat baik dan memberi layanan kepada ahli keluarganya kerana Rasulullah SAW paling baik layanan terhadap isteri dan anak-anaknya.

Bersama membina keluarga bahagia kearah mewujudkan Negara Rahmah Ummah Sejahtera.

01hb November 2021

25hb Rabiul Awal 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

عَنْ الزُّهْرِيِّ قَالَ أَخْبَرَنِي سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خَيْرُ الصَّدَقَةِ مَا كَانَ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ

*_Daripada Az Zuhriy berkata, telah mengkhabarkan kepada saya Sa'id bin Al Musayyab bahawa dia mendengar Abu Hurairah RA dari Nabi SAW bersabda,: "Sebaik-baik sedekah adalah yang di luar keperluan (yang sudah cukup untuk keperluan dirinya). Maka mulakanlah pemberian untuk orang yang menjadi tanggunganmu".(HR Bukhari No: 1337) Status: Hadis Sahih_*

  1. Amalan bersedekah atau pemberian kepada orang lain adalah amalan mulia yang dituntut kepada setiap Muslim.
  2. Antara perkara yang membawa kebahagiaan dalam berkeluarga adalah saling melaksanakan tanggungjawab. Satu daripada tanggungjawab ketua keluarga ialah menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Pemberian kepada ahli keluarga merupakan sedekah.
  3. Bersedekah atau pemberian yang sebaiknya adalah selepas menyempurnakan hak dan tanggungjawab keluarga. Firman Allah
  4. وَيَسْأَلُونَكَ مَاذَا يُنْفِقُونَ قُلِ الْعَفْوَ

    “Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: ” Yang lebih dari keperluan.” (QS. Al Baqarah: 219).

    Al ‘afwu dalam ayat di atas bermakna sedekah itu di luar keperluan asas (Ibnu Katsir, 2: 145).

  5. Sedekah atau pemberian kepada keluarga terlebih dahulu lebih diutamakan kerana ganjarannya lebih besar berbanding sedekah (pemberian) kepada orang lain.
  6. قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَدَقَتُكَ عَلَى الْمِسْكِينِ صَدَقَةٌ وَعَلَى ذِي الْقُرْبَى الرَّحِمِ ثِنْتَانِ صَدَقَةٌ وَصِلَةٌ

    Rasulullah SAW bersabda: "Sedekahmu pada orang-orang miskin bernilai satu sedekah, sedangkan sedekahmu pada kerabatmu bernilai dua iaitu; (1) sedekah dan (2) menyambung silaturahim." (Musnad Ahmad No: 17197) Isnad Hasan

Mulakan pemberian kepada ahli keluarga terlebih dahulu termasuk ibu bapa serta kaum kerabat yang terdekat, lebih-lebih lagi apabila kita mengetahui ada ahli keluarga kita yang terkesan ekonomi mereka akibat Covid 19 ini.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

02hb November 2021

26hb Rabiul Awal 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

عَنْ الْأَسْوَدِ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ مَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصْنَعُ فِي بَيْتِهِ قَالَتْ كَانَ يَكُونُ فِي مِهْنَةِ أَهْلِهِ تَعْنِي خِدْمَةَ أَهْلِهِ فَإِذَا حَضَرَتْ الصَّلَاةُ خَرَجَ إِلَى الصَّلَاةِ

*_Daripada Al Aswad berkata, "Aku pernah bertanya kepada 'Aisyah tentang apa yang dikerjakan Nabi SAW ketika berada di rumah. Maka 'Aisyah pun menjawab, "Baginda selalu membantu keluarganya, jika datang waktu solat maka baginda keluar untuk melaksanakannya (di masjid)." (HR Bukhari No: 635) Status: Hadis Sahih_*

  1. Rasulullah SAW menunjukkan contoh apabila berada di rumah dengan membantu kerja-kerja rumah tangga seperti membasuh, memasak dan lain-lain.
  2. Rasulullah SAW juga tidak mengabaikan ibadat solat fardhu di masjid apabila sampai waktunya di samping peranannya dalam masyarakat.
  3. Pemimpin yang baik ialah yang dapat melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah, keluarga (rumah tangga) dan kemudian tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara dengan baik dan sempurna.
  4. Keluarga yang bahagia akan terhasil apabila suami dan isteri dapat melaksanakan tugas dan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan saling membantu dalam urusan harian tanpa mengabaikan kewajipan kepada Allah S.W.T.

Para suami sewajarnya mencontohi Rasulullah SAW dalam kehidupan berkeluarga dengan membantu urusan harian isteri di rumah dan menjaga kewajipan terhadap Allah seperti solat fardhu yang ditunaikan di masjid.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

03hb November 2021

27hb Rabiul Awal 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالْأَمِيرُ رَاعٍ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

*_Daripada Ibnu Umar RA, dari Nabi SAW bersabda: "Setiap kita adalah pemimpin. Setiap kita akan diminta bertanggungjawab terhadap yang dipimpinnya. Seorang ketua adalah pemimpin. Seorang suami juga pemimpin atas keluarganya. Seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya. Maka setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan dipertanggungjawabkan atas yang dipimpinnya." (HR Bukhari No: 4801) Status: Hadis Sahih_*

  1. Setiap kita adalah pemimpin dan akan dipertanggungjawabkan setiap yang berada di bawah kepimpinan kita
  2. Seorang ketua sama ada sebagai pemimpin Negara, negeri, daerah, organisasi, jabatan, unit termasuk keluarga, besar atau kecil tetap akan dipertanggungjawabkan kepimpinan dibawahnya.
  3. Sebagai suami akan ditanya kepimpinannya terhadap isteri, anak-anak serta yang berada di bawah tanggungjawabnya.
  4. Sebagai isteri ada tanggungjawab dalam rumahtangga, sama ada terhadap suami mahupun anak-anak.

Dalam membina keluarga bahagia, suami dan isteri sewajarnya saling bekerjasama berperanan memimpin dan mencorakkan rumahtangga.

Laksanakanlah amanah tanggungjawab yang ada dengan sebaik mungkin kerana ianya akan dipertanggungjawabkan.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

04hb November 2021

28hb Rabiul Awal 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

*_Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Wanita itu dinikahi kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, nescaya kamu akan beruntung dan bernasib baik." (HR Bukhari No: 4700) Status Hadis Sahih_*

  1. Perkahwinan adalah ibadah yang digalakkan bagi yang berkemampuan bagi menyalurkan naluri seks yang halal serta dibenarkan oleh syarak untuk mencari keredhaan Allah.
  2. Wanita ideal yang dipilih menjadi isteri sebaiknya memiliki empat ciri berikut:
    • a. Harta
    • b. Keturunan (termasuk keturunan yang ramai)
    • c. Kecantikan
    • d. Agama
  3. Pemilihan wanita yang berdasarkan kepada harta, keturunan dan kecantikan semata-mata tidak digalakkan oleh Islam. Pemilihan ini tidak dapat menjamin sepenuhnya kebahagiaan rumahtangga serta pendidikan anak-anak yang bakal dilahirkan.
  4. Pemilihan jodoh sama ada bagi lelaki mahupun wanita hendaklah mengutamakan kepada mereka yang beragama dan beramal dengan kehendak agama (soleh dan solehah). Selepas aspek beragama, barulah dilihat aspek harta, keturunan dan kecantikan.
  5. Memilih pasangan yang beragama sebagai keutamaan dan pra syarat akan melahirkan kehidupan yang Sakinah mawaddah warahmah serta menjadikan hidupnya sentiasa kaya dengan akhlak, rohani dan jasmani serta beruntung di dunia dan akhirat
  6. Rasulullah SAW juga mengingatkan kita:

    لاَ تَزَوَّجُوا النِّسَاءَ لِحُسْنِهِنَّ فَعَسَى حُسْنُهُنَّ أَنْ يُرْدِيَهُنَّ وَلاَ تَزَوَّجُوهُنَّ لأَمْوَالِهِنَّ فَعَسَى أَمْوَالُهُنَّ أَنْ تُطْغِيَهُنَّ وَلَكِنْ تَزَوَّجُوهُنَّ عَلَى الدِّينِ وَلأَمَةٌ خَرْمَاءُ سَوْدَاءُ ذَاتُ دِينٍ أَفْضَلُ

    Janganlah kalian menikahi para wanita semata-mata kerana kecantikan mereka, kerana kecantikannya mungkin akan merosakkan mereka (kerana tertipu dan sombong dengan kecantikan). Jangan juga menikahi para wanita kerana harta mereka kerana berkemungkinan harta akan menyebabkan mereka jatuh dalam maksiat dan kejahatan. Akan tetapi, hendaklah kalian berkahwin dengan perempuan atas dasar agama. Seorang hamba perempuan yang sumbing pada mulut dan telinga tetapi mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna lebih baik (daripada perempuan yang merdeka yang membelakangi perintah agamanya. (HR Ibn Majah No: 185).

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

05hb November 2021

29hb Rabiul Awal 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ الْأَنْصَارِيِّ فَقُلْتُ عَنْ النَّبِيِّ فَقَالَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا أَنْفَقَ الْمُسْلِمُ نَفَقَةً عَلَى أَهْلِهِ وَهُوَ يَحْتَسِبُهَا كَانَتْ لَهُ صَدَقَةً

*_Daripada Abu Mas'ud Al-Anshari maka aku berkata; Dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Jika seorang muslim memberi nafkah pada keluarganya dengan niat mengharap pahala, maka baginya hal itu adalah sedekah." (HR Bukhari No: 4932) Status: Hadis Sahih_*

  1. Bagi seorang suami dan bapa kepada anak-anak, memberi nafkah keperluan kepada ahli keluarga adalah tanggungjawab wajib.
  2. Suami wajib memberi nafkah kepada ahli keluarga isteri dan anak-anak-anak mengikut kemampuannya. Menyia-nyiakannya akan menyebabkan berdosa. Sabda Rasulullah SAW:
  3. كفى بًالمرء إثما أن يضيع من يقوت

    “Cukuplah seseorang dikatakan berdosa jika ia menyia-nyiakan orang yang menjadi tanggungannya” (HR. Abu Daud 1692) Status: Hadis Sahih

  4. Memberi nafkah ke atas orang yang berada di bawah tanggungannya adalah sedekah. Suami wajib memberi nafkah kepada ahli keluarga dengan sebab perkahwinan, merangkumi makan minum, rumah kediaman, penjagaan kesihatan, perlindungan, kasih sayang, pendidikan dan lain-lain.
  5. Dalam masyarakat hari ini, walaupun isteri sama-sama bekerja, namun tanggungjawab memberi nafkah masih tetap terpikul di bahu suami. Isteri masih boleh membantu di mana yang sesuai sebagai pelengkap. Sumbangan isteri kepada keluarga juga dikira sebagai sedekah yang akan dibalas dengan ganjaran yang besar oleh Allah S.W.T.
  6. Muslim yang memberi nafkah pada ahli keluarganya dengan niat mengharap pahala, maka itu adalah sedekah

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

06hb November 2021

01hb Rabiul Akhir 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَصَدَّقُوا فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ عِنْدِي دِينَارٌ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى نَفْسِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى زَوْجَتِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى وَلَدِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى خَادِمِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ أَنْتَ أَبْصَرُ

*_Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Bersedekahlah kalian", lalu seseorang berkata ya Rasulullah aku hanya memiliki satu dinar, baginda menjawab: "Bersedekahlah dengannya untuk dirimu," ia berkata aku mempunyai yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah untuk isterimu, " ia berkata aku mempunyai yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah untuk anakmu, " ia berkata aku memiliki yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah untuk pembantumu," ia berkata aku memiliki yang lain, baginda bersabda: "Engkau lebih tahu yang berhak engkau beri." (HR Nasai No: 2488) Status: Hasan Sahih_*

  1. Rasulullah SAW menganjurkan agar kita bersedekah jika memiliki harta. Setiap yang dibelanjakan kepada orang lain, ia akan mendapat pahala sedekah.
  2. Jika kita memiliki harta atau wang ringgit, belanjakanlah untuk keperluan mengikut keutamaan dengan mendahului untuk :
    • a. Diri sendiri dengan menunaikan hak tubuh badan seperti makanan dan pakaian yang wajib. Jika ada lebihan, boleh diberi kepada;
    • b. Isteri (keperluan isteri yang menjadi tanggungjawab suami sama ada yang wajib mahupun yang sunat). Jika ada lebihan boleh di beri kepada;
    • c. Anak (keperluan anak-anak seperti makan minum, pelajaran dan lain-lain), Jika ada lebihan boleh di beri kepada;
    • d. Pembantu. Jika ada lebihan boleh di beri kepada;
    • e. Mereka yang dirasakan layak dan berhak mengikut keutamaan.

Ayuh bersedekah mengikut keutamaan kepada yang berhak.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

07hb November 2021

02hb Rabiul Akhir 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

عَنْ حَكِيمِ بْنِ حِزَامٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ وَخَيْرُ الصَّدَقَةِ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَمَنْ يَسْتَعْفِفْ يُعِفَّهُ اللَّهُ وَمَنْ يَسْتَغْنِ يُغْنِهِ اللَّهُ

*_Daripada Hakim bin Hiram RA dari Nabi SAW berkata: “Tangan yang diatas lebih baik dari pada tangan yang di bawah, maka mulailah untuk orang-orang yang menjadi tanggunganmu dan sedekah yang paling baik adalah dari orang yang sudah cukup (untuk keperluan dirinya). Maka barangsiapa yang berusaha memelihara dirinya, Allah akan memeliharanya dan barangsiapa yang berusaha mencukupkan dirinya maka Allah akan mencukupkannya”. (HR Bukhari No: 1338) Status: Hadis Sahih_*

  1. Tangan yang di atas (memberi) adalah lebih baik daripada tangan di bawah (meminta-minta).
  2. Berusahalah menjadi pemberi berbanding penerima. Orang yang memberi lebih baik dan barakah rezekinya berbanding orang yang menerima.
  3. Menghulurkan sedekah dan sumbangan hendaklah dimulakan terlebih dahulu kepada ahli keluarga yang menjadi tanggungan kita.
  4. Sedekah yang paling baik adalah lebihan daripada keperluan asas seseorang.
  5. Bagi ketua keluarga, berusahalah mencari rezeki untuk keperluan keluarga dan elakkan diri dari meminta-minta.
  6. Allah akan memelihara dan mencukupkan keperluan kepada orang yang berusaha dan bekerja mencari rezeki.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

08b November 2021

03hb Rabiul Akhir 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ دَخَلَتْ امْرَأَةٌ مَعَهَا ابْنَتَانِ لَهَا تَسْأَلُ فَلَمْ تَجِدْ عِنْدِي شَيْئًا غَيْرَ تَمْرَةٍ فَأَعْطَيْتُهَا إِيَّاهَا فَقَسَمَتْهَا بَيْنَ ابْنَتَيْهَا وَلَمْ تَأْكُلْ مِنْهَا ثُمَّ قَامَتْ فَخَرَجَتْ فَدَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْنَا فَأَخْبَرْتُهُ فَقَالَ مَنْ ابْتُلِيَ مِنْ هَذِهِ الْبَنَاتِ بِشَيْءٍ كُنَّ لَهُ سِتْرًا مِنْ النَّارِ

*_Daripada ‘Aisyah RA berkata; Telah datang seorang wanita bersama dua puterinya menemuiku untuk meminta sesuatu namun aku tidak mempunyai apa-apa selain sebutir kurma lalu aku berikan kepadanya. Lalu wanita itu membahagi kurma itu menjadi dua bahagian yang diberikannya untuk kedua puterinya sedangkan dia tidak memakan sedikitpun. Lalu wanita itu berdiri untuk segera pergi. Ketika itulah Nabi SAW datang kepada kami, lalu aku ceritakan masalah itu, maka Baginda bersabda: “Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada kehadiran anak-anak perempuannya (lalu dia berbuat baik kepada mereka), maka mereka akan menjadi pelindung baginya dari api neraka”. (HR Bukhari No: 1329) Status: Hadis Sahih_*

  1. Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menyediakan keperluan ahli keluarga khususnya anak-anak, termasuk penyediaan makanan, pakaian tempat tinggal, pendidikan dan sebagainya.
  2. Ibu bapa yang soleh akan mendahulukan keperluan anak-anaknya walaupun terpaksa mengikat perut.
  3. Ibu bapa yang bersusah payah memberikan sesuatu makanan atau menyediakan keperluan seperti pembiayaan pembelajaran dan lain-lain kepada anaknya, akan menjadi saham melindunginya dari api neraka.
  4. Berusahalah menyediakan keperluan untuk ahli keluarga.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

09hb November 2021

04hb Rabiul Akhir 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

عَنْ مُعَاذٍ قَالَ أَوْصَانِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَشْرِ كَلِمَاتٍ قَالَ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ شَيْئًا وَإِنْ قُتِلْتَ وَحُرِّقْتَ وَلَا تَعُقَّنَّ وَالِدَيْكَ وَإِنْ أَمَرَاكَ أَنْ تَخْرُجَ مِنْ أَهْلِكَ وَمَالِكَ وَلَا تَتْرُكَنَّ صَلَاةً مَكْتُوبَةً مُتَعَمِّدًا فَإِنَّ مَنْ تَرَكَ صَلَاةً مَكْتُوبَةً مُتَعَمِّدًا فَقَدْ بَرِئَتْ مِنْهُ ذِمَّةُ اللَّهِ وَلَا تَشْرَبَنَّ خَمْرًا فَإِنَّهُ رَأْسُ كُلِّ فَاحِشَةٍ وَإِيَّاكَ وَالْمَعْصِيَةَ فَإِنَّ بِالْمَعْصِيَةِ حَلَّ سَخَطُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَإِيَّاكَ وَالْفِرَارَ مِنْ الزَّحْفِ وَإِنْ هَلَكَ النَّاسُ وَإِذَا أَصَابَ النَّاسَ مُوتَانٌ وَأَنْتَ فِيهِمْ فَاثْبُتْ وَأَنْفِقْ عَلَى عِيَالِكَ مِنْ طَوْلِكَ وَلَا تَرْفَعْ عَنْهُمْ عَصَاكَ أَدَبًا وَأَخِفْهُمْ فِي اللَّهِ

*_Daripada Mu'adz bin Jabal RA berkata; "Rasulullah SAW telah mewasiatkan kepada saya mengenai sepuluh perkara. Jangan menyengutukan Allah dengan sesuatu apapun walaupun kamu akan dibunuh atau dibakar. Jangan kamu menderhakai kedua-dua ibu bapa kamu meskipun mereka menyuruh kamu berpisah dengan isteri dan harta-benda kamu. Janganlah kamu meninggalkan solat fardu dengan sengaja kerana sesungguhnya sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja maka dia terlepas daripada tanggungjawab Allah S.W.T. Jangan sekali-kali minun arak kerana perbuatan ini adalah punca segala maksiat. Jauhilah diri kamu daripada perbuatan maksiat kerana perbuatan ini akan menyebabkan kemurkaan Allah S.W.T. Jangan lari dari medan pertempuran walaupun semua rakan kamu telah terbunuh. Jangan berpindah dari tempat berlakunya kematian akibat wabak yang sedang merebak seperti taun dan sebagainya. Belanjalah untuk keluarga kamu mengikut kemampuan kamu. Jangan kamu mengelak daripada merotani anak-anak sebagai amaran supaya mereka berakhlak baik. Takutkan mereka (anak-anak) kepada Allah S.W.T." (HR Ahmad No: 21060). Status: Hadis Hassan_*

Rasulullah SAW dalam hadis ini meninggalkan sepuluh wasiat berbentuk pesanan:

  1. Tidak melakukan syirik walaupun engkau dibunuh
  2. Tidak menderhakai ibu bapa meskipun mereka menyuruh kamu berpisah dengan isteri dan harta-benda kamu
  3. Tidak meninggalkan solat fardhu dengan sengaja kerana dia terlepas daripada tanggungjawab Allah
  4. Tidak minum arak (sesuatu yang memabukkan) kerana ia punca segala maksiat
  5. Tidak melakukan maksiat kerana perbuatan ini akan menyebabkan kemurkaan Allah
  6. Tidak lari dari medan perang walaupun semua rakan kamu telah terbunuh
  7. Tidak berpindah dari tempat berlakunya kematian akibat wabak (kurantin) yang sedang merebak seperti taun dan sebagainya
  8. Berbelanjalah untuk keluarga kamu mengikut kemampuan
  9. Jangan kamu mengelak daripada merotani anak-anak (dalam mendidik jika mereka melakukan larangan) sebagai amaran supaya mereka berakhlak baik.
  10. Takutkan mereka (anak-anak) kepada Allah (tanamkan rasa takut kepada Allah dalam diri mereka).

Berusahalah memenuhi wasiat Rasulullah SAW ini.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

10hb November 2021

05hb Rabiul Akhir 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أُمِّيَ افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا وَإِنِّي أَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ فَلِي أَجْرٌ أَنْ أَتَصَدَّقَ عَنْهَا قَالَ نَعَمْ

*_Daripada 'Aisyah RA, bahawa seorang laki-laki bertanya kepada Nabi SAW, katanya, "Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia, dan saya kira jika dia dapat berbicara dia akan bersedekah, apakah saya juga akan mendapatkan pahala jika saya bersedekah atas namanya?" baginda menjawab: "Ya." (HR Muslim No: 3082) Status: Hadis Sahih_*

  1. Anak yang soleh akan sentiasa berbakti untuk kedua ibu bapanya.
  2. Anak yang soleh masih boleh berbakti kepada kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia.
  3. Pahala amal soleh yang dilakukan oleh sianak akan turut diperolehi oleh kedua ibu bapa antaranya sedekah yang diniatkan untuk kedua ibu bapanya yang beriman.

Semoga amal baik yang dilakukan oleh anak yang soleh turut menyumbang ganjaran amal baik untuk kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

11hb November 2021

06hb Rabiul Akhir 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

*_Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya dan anak soleh yang mendoakannya." (HR Muslim No: 3084) Status: Hadis Sahih_*

  1. Setiap keturunan anak Adam bergantung dengan amal yang mereka lakukan semasa hidup.
  2. Ada amalan yang dilakukan semasa hidup akan berterusan mengalir pahalanya walaupun dia telah meninggal dunia antaranya:
    • a. Sedekah jariah berbentuk harta seperti wakaf, derma yang disumbang semasa hidup yang manfaatnya diguna oleh orang lain termasuk haiwan.
    • b. Ilmu bermanfaat yang diajarkan kepada orang lain dan dimanafaatkannya untuk kemaslahatan hidup termasuk hasil ciptaan daripada ilmu yang dipelajari. Ilmu juga termasuk sesuatu yang dihasilkan berbentuk buku, artikel, juga sebarang penulisan yang baik dan bermanfaat dalam bentuk elektronik seperti laman web, FB, telegram dan whatsapp.
    • c. Anak soleh yang melakukan amal-amal soleh serta yang mendoakan keampunan untuk kedua ibu bapanya.

Lakukanlah sesuatu yang boleh menjadi penerus amal dan pemberi ganjaran pahala berterusan walaupun kita telah meninggal dunia.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

12hb November 2021

07hb Rabiul Akhir 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّ رَجُلًا مِنْ الْأَعْرَابِ لَقِيَهُ بِطَرِيقِ مَكَّةَ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ عَبْدُ اللَّهِ وَحَمَلَهُ عَلَى حِمَارٍ كَانَ يَرْكَبُهُ وَأَعْطَاهُ عِمَامَةً كَانَتْ عَلَى رَأْسِهِ فَقَالَ ابْنُ دِينَارٍ فَقُلْنَا لَهُ أَصْلَحَكَ اللَّهُ إِنَّهُمْ الْأَعْرَابُ وَإِنَّهُمْ يَرْضَوْنَ بِالْيَسِيرِ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ إِنَّ أَبَا هَذَا كَانَ وُدًّا لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ أَبَرَّ الْبِرِّ صِلَةُ الْوَلَدِ أَهْلَ وُدِّ أَبِيهِ

*_Daripada Abdullah bin Umar RA dia berkata; "Seorang laki-laki desa bertemu dengannya di salah satu jalan di kota Mekah. Lalu Abdullah memberi salam kepadanya dan menaikkannya ke atas keldai yang dinaikinya, dan diberinya serban yang sedang dipakainya di kepala." Kata Ibnu Dinar; "Maka kami berkata kepada Abdullah bin Umar; 'semoga Allah membalas kebaikan anda. Sesungguhnya orang desa itu lebih suka yang sederhana." Jawab Abdullah; "Bapa orang ini adalah sahabat baik Umar bin Khathab. Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya kebajikan yang utama ialah apabila seorang anak melanjutkan hubungan (silaturahim) dengan keluarga sahabat baik ayahnya." (HR Muslim No: 4629) Status: Hadis Sahih_*

  1. Berbuat baik kepada kedua ibu bapa perlu berterusan, walaupun selepas keduanya meninggal dunia.
  2. Selain daripada mendoakan kebaikan untuk kedua ibu bapa, seorang anak juga disuruh menghubungkan silaturahim dengan keluarga dan sahabat ibu bapa.
  3. Berbuat baik dengan sahabat baik ibu bapa juga adalah antara cara berbakti kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia.

Semoga kita sentiasa berbakti kepada ibu bapa walaupun mereka telah meninggal dunia dengan cara menghubungkan silaturahim keluarga dan sahabat handai ibu bapa.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

13hb November 2021

08hb Rabiul Akhir 1443H


*PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى وَلَدِهِ

*_Daripada Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Ada tiga jenis doa yang akan dikabulkan yang tidak ada keraguan padanya; doa orang yang dizalimi, doa orang yang sedang bermusafir, dan doa orang tua untuk anaknya." (HR Tirmizi No: 1828) Status: Hadis Hasan_*

  1. Muslim dituntut sentiasa berbuat baik dalam pergaulan dan perhubungan dengan anggota masyarakat termasuk kedua ibu bapa.
  2. Elakkan hubungan yang buruk hingga menjadi penyebab kita menzalimi orang lain.
  3. Tiga golongan doanya mustajab di sisi Allah:
    • b. Doa dari orang yang dizalimi
    • c. Doa orang yang sedang bermusafir
    • d. Doa dua ibu bapa kepada anak
    • Pastikan kita tidak melakukan sesuatu yang buruk kepada golongan ini sehingga menjadi penyebab mereka berdoa yang buruk untuk kita

    Semoga kita mendapat doa yang baik dari orang yang sedang bermusafir. Bagi kedua ibu bapa, pastikan apa yang keluar dari mulut dan yang terlintas dalam doa untuk anak-anak adalah yang baik-baik kerana ia boleh menjadi mustajab.

    Mari kita bina keluarga yang sejahtera dengan doa yang terbaik menuju ke syurga. Doa ibubapa memainkan peranan penting dalam membentuk keluarga Bahagia.

    Negara Rahmah Ummah Sejahtera

    14hb November 2021

    09hb Rabiul Akhir 1443H


    *PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

    عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَنْ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا ثُمَّ لَمْ يَدْخُلْ الْجَنَّةَ

    *_Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Nabi SAW bersabda: "Dia celaka! Dia celaka! Dia celaka!" lalu baginda ditanya; "Siapakah yang celaka, ya Rasulullah?" Jawab Nabi SAW: "Barang Siapa yang mendapati kedua orang tuanya (dalam usia lanjut), atau salah seorang dari keduanya, tetapi dia tidak berusaha masuk syurga (dengan berusaha berbakti kepadanya dengan sebaik-baiknya)." (HR Muslim No: 4628) Status: Hadis Sahih_*

    1. Jangan jadikan kita orang yang celaka
    2. Orang yang celaka dimurkai Allah dan menyediakan dirinya ke neraka
    3. Orang yang celaka adalah mereka yang masih ada ibu atau bapa yang sudah tua tapi tidak berusaha berbakti kepada mereka.
    4. Celakalah anak-anak yang tidak sanggup menjaga kedua ibu bapa lalu menghantar kerumah orang tua. Dibiarkan orang tua tanpa diziarahi.
    5. Bagi yang ada ibu atau bapa yang sudah tua, rebutlah peluang berbakti dan berbuat baik kepada mereka dengan segala daya upaya.
    6. Daripada Abu Darda’ RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
    7. لوَالِدُ أَوْسَطُ أَبْوَابِ الجَنَّةِ، فَإِنْ شِئْتَ فَأَضِعْ ذَلِكَ البَابَ أَوْ احْفَظْهُ

      “Ibubapa (orang tua) merupakan pintu tengah syurga, Jika kamu mahu letakkanlah pintu itu atau jagalah ia”.(HR Tirmizi No:1900

    Syeikh al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadis ini berkata bahawa kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa. Barangsiapa yang mentaati orang tua maka dia telah mentaati Allah dan barangsiapa yang memurkai mereka sesungguhnya mereka dimurkai Allah. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 21,23/6]

    Hindarkan diri dari tergolong orang yang celaka.

    Negara Rahmah Ummah Sejahtera

    15hb November 2021

    0hb Rabiul Akhir 1443H


    *PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

    عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ جِئْتُ أُبَايِعُكَ عَلَى الْهِجْرَةِ وَتَرَكْتُ أَبَوَيَّ يَبْكِيَانِ فَقَالَ ارْجِعْ عَلَيْهِمَا فَأَضْحِكْهُمَا كَمَا أَبْكَيْتَهُمَا

    *_Daripada Abdullah bin 'Amr RA, ia berkata; terdapat seorang laki-laki yang datang kepada Rasulullah SAW dan berkata; aku datang membaiah engkau untuk berhijrah, dan aku telah meninggalkan kedua orang tua ku dalam keadaan menangis. Kemudian baginda bersabda: "Kembalilah kepada mereka berdua dan buatlah mereka tertawa sebagaimana engkau membuat mereka menangis!" (HR Abu Daud: 2166) Status: Hadis Sahih_*

    1. Kewajipan anak ialah sentiasa mengembirakan kedua ibu bapanya
    2. Lakukan sesuatu yang sentiasa membuatkan kedua orang tua kita gembira
    3. Tidak ada hadiah yang berharga melainkan sesuatu yang membuatkan kedua ibu bapa gembira di dunia dan gembira di syurga.

    Bagi setiap anak yang masih memiliki kedua ibu bapa atau salah seorang daripadanya, buatlah sesuatu yang mengembirakan kedua mereka.

    Negara Rahmah Ummah Sejahtera

    16hb November 2021

    11hb Rabiul Akhir 1443H


    *PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

    عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَجْزِي وَلَدٌ وَالِدًا إِلَّا أَنْ يَجِدَهُ مَمْلُوكًا فَيَشْتَرِيَهُ فَيُعْتِقَهُ

    *_Dari Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Seorang anak tidak akan mampu untuk membalas kebaikan orang tuanya, kecuali ia mendapatinya dalam keadaan hamba, lalu ia membeli dan memerdekakannya." (HR Tirmizi No: 1829) Status: Hasan Sahih._*

    1. Pengorbanan ibu bapa terhadap anak-anak amat besar. Bermula dari kesusahan si ibu ketika mengandungkannya, melahirkan hinggalah membesarkannya
    2. Seorang anak tidak akan mampu membalas kebaikan ibu bapanya yang telah mengasuh, membimbing dan memberikan pendidikan di samping keperluan fizikal.
    3. Perbandingan membalas jasa keduanya diumpamakan jika orang tuanya seorang hamba, lalu si anak membeli dan memerdekakannya.

    Daripada kedua ibu bapa, kita dilahirkan ke dunia. Berkhidmatlah dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa semampu yang boleh.

    Negara Rahmah Ummah Sejahtera

    17hb November 2021

    12hb Rabiul Akhir 1443H


    *PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

    عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ الْكَبَائِرِ أَنْ يَشْتُمَ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَهَلْ يَشْتُمُ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قَالَ نَعَمْ يَسُبُّ أَبَا الرَّجُلِ فَيَشْتُمُ أَبَاهُ وَيَشْتُمُ أُمَّهُ فَيَسُبُّ أُمَّهُ

    *_Daripada Abdullah bin Amr RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Termasuk Al-Kaba`ir (dosa-dosa besar), yakni bila seseorang mencela kedua orang tuanya." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, mungkinkah seseorang mencela kedua orang tuanya?" baginda menjawab: "Ya, bila ia mencaci bapa seseorang, maka orang itu pun akan mencaci bapanya. Dan bila ia mencaci ibu seseorang, lalu orang itu pun akan mencaci ibunya." (HR Tirmizi No: 1824) Status: Hasan Sahih._*

    1. Termasuk dosa besar apabila seseorang mencaci atau mencela kedua ibu bapanya.
    2. Apabila seseorang mencaci atau memaki ibu atau bapa orang lain, ia bermakna turut mencaci dan memaki ibu atau bapanya sendiri.
    3. Menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa orang lain bermakna kita menghormati dan mengasihi ibu bapa kita.
    4. Berbuat baik, berlemah lembut dan hormatilah ibu bapa kita dan ibu bapa orang lain. Frman Allah SWT:

    وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

    “Dan hendaklah kamu merendahkan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (al-Isra’:24)

    Negara Rahmah Ummah Sejahtera

    18hb November 2021

    13hb Rabiul Akhir 1443H


    *PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS*

    أَبُو الطُّفَيْلِ عَامِرُ بْنُ وَاثِلَةَ قَالَ كُنْتُ عِنْدَ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَقَالَ مَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسِرُّ إِلَيْكَ قَالَ فَغَضِبَ وَقَالَ مَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسِرُّ إِلَيَّ شَيْئًا يَكْتُمُهُ النَّاسَ غَيْرَ أَنَّهُ قَدْ حَدَّثَنِي بِكَلِمَاتٍ أَرْبَعٍ قَالَ فَقَالَ مَا هُنَّ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ قَالَ قَالَ لَعَنَ اللَّهُ مَنْ لَعَنَ وَالِدَهُ وَلَعَنَ اللَّهُ مَنْ ذَبَحَ لِغَيْرِ اللَّهِ وَلَعَنَ اللَّهُ مَنْ آوَى مُحْدِثًا وَلَعَنَ اللَّهُ مَنْ غَيَّرَ مَنَارَ الْأَرْضِ

    *_Abu At Thufail 'Amir bin Wastilah berkata, "Saya berada di samping Ali bin Abu Thalib, tiba-tiba seorang laki-laki datang menemuinya seraya berkata, "Apakah Nabi SAW pernah menyampaikan suatu rahsia kepadamu (yang tidak diberitahukan kepada orang lain)?" Abu Thufail berkata, "Ali pun marah seraya berkata, "Tidaklah Nabi SAW menyampaikan suatu rahsia kepadaku dan tidak menyampaikannya kepada manusia, kecuali bahawa baginda pernah menyampaikan empat hal kepadaku." Abu Thufail berkata, "Laki-laki tersebut bertanya, "Apakah empat perkara itu wahai Amirul Mukminin?" Abu Thufail melanjutkan, "Ali lalu menjawab, "Allah melaknat orang yang melaknat orang tuanya; melaknat orang yang menyembelih untuk selain Allah; melaknat orang yang menyembunyikan penjahat (orang yang melanggar hukum Allah) dan; melaknat orang yang memindah batas tanah." (HR Muslim No: 3657) Status: Hadis Sahih_*

    Allah melaknat empat golongan pelaku maksiat berikut:

    1. Allah melaknat orang yang mencela orang tuanya;
    2. Allah melaknat orang yang menyembelih untuk selain Allah;
    3. Allah melaknat orang yang melindungi pelaku kejahatan (orang tersebut mendapat keringanan hukuman atau bebas dari hukuman yang telah ditetapkan syariat) dan;
    4. Allah melaknat orang yang memindah batas tanah (batu tanda mengukur sempadan tanah) .

    Hidup berkeluarga dan bermasyarakat menuntut kita bersifat rahmah kepada ahli keluarga dan anggota masyarakat di sekeliling. Pastikan kita tidak tergolong orang yang dilaknat Allah. Negara Rahmah Ummah Sejahtera

    19hb November 2021

    14hb Rabiul Akhir 1443H